Ujian Taubat Seorang Hamba

Soalan:
Saya ini sering melakukan dosa. Menyesal, bertaubat, kemudian nanti saya diuji lagi dan gagal, akhirnya jatuh semula ke lubang dosa. Nanti saya menyesal balik, rasa takut, kemudian saya bertaubat, menangis-nangis. Tetapi lama lepas itu, saya teruji lagi, saya cuba bertahan, tetapi lama kelamaan saya gagal dan kembali melakukan dosa lagi.

Saya sampai malu nak bertaubat dengan Allah SWT lagi.
Bukan saya sengaja nak balik kepada dosa saya, tetapi entahlah, saya asyik tergoda dan terjatuh semula.

Apa nasib saya?

Jawapan:
Sebelum saya ke Jordan, saya pernah duduk di sebuah majlis bersama almarhum mudir(pengetua) sekolah menengah saya - Ustaz Dahlan Mohd Zain.

Saya ada bertanya kepada beliau, berkenaan orang yang terjerumus di dalam situasi di atas. Yakni, mengulang dosa walaupun telah berkali-kali bertaubat. Taubatnya pula bukan main-main, dia bertaubat bersungguh-sungguh. Tetapi mengulang juga dosanya dek kerana tergoda, terlalai dan sebagainya. Lagi dan lagi.

Respon almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain ketika itu simple sangat.

"Dia ada rasa berdosa, itu sudah positif."

Saya masa itu seperti terkejut dengan jawapan itu. Simple, tetapi menusuk kalbu saya. Ya, dia rasa berdosa bukan? Sebab itu setiap kali dia berdosa, dia bertaubat. Dia tak kata: "Ala, rilek la, Allah kan Maha Penyayang." atau "Esok-esok aku taubat la." Tidak.

Taubatnya pula bersungguh-sungguh.
Bukankah itu positif?

Semakin saya membesar dan menelaah pelbagai buku, bertemu pelbagai guru, saya semakin faham apa yang dipesankan oleh almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain.

Kita manusia tidak akan sempurna. Kita memang akan buat dosa. Tetapi sejauh mana kita bersungguh-sungguh untuk menjadi baik itu, itu yang Allah akan kira.

Macam pembunuh 99 orang. Dia bersungguh-sungguh nak bertaubat. Walaupun selepas dia bertemu seorang 'abid yang menyatakan dia sudah tidak punya haapan, selepas dia membunuh 'abid tersebut melengkapkan pembunuhannya ke angka 100, dia masih lagi berusaha nak bertaubat. Hingga dia bertemu seorang alim. Bila alim menasihatkan dia untuk pergi ke sebuah kampung yang suasanya baik untuk dia bertaubat, dia pergi. Bersungguh-sungguh, tak berputus asa. Dia mati di tengah perjalanan, belum lagi bertaubat, baru nak bertaubat. Tetapi Allah masukkan dia ke dalam syurga. Allah mengira kesungguhannya.

Maka mengapa kita nak berputus asa?
Bertaubatlah, lagi dan lagi. Lagi dan lagi. Lagi dan lagi.
Rasa berdosa tadi, kena lihat dari sudut positif. Biar rasa berdosa itu drive kita untuk terus bertaubat. Berdoa agar Allah tak matikan hati kita, jangan sampai kita rasa tak berdosa langsung dengan dosa kita.

Usaha sungguh-sungguh. Taubat banyak kali. Menangis kepada Allah. Berdoa minta Dia bantu kita.

Sama ada kita berjaya hidup dalam keadaan berjaya meninggalkan dosa, atau kita mati dalam keadaan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan dosa.

Allah takkan meninggalkan kita. Dia tidak zalim.
Yakinlah!

~ Hilal Asyraf(Official)

Comments

Popular posts from this blog

SELAWAT TAFRIJIYAH/NARIAH/TAFRIYYAH DAN TERJEMAHANNYA

3 Tahun Tanpa Kasih Sayang Nya

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?