Tanggungjawab Murabbi

Bila menyebutkan akan tanggungjawab sebagai seorang murabbi, ia menjadikan aku tunduk, insaf dan menyedarkan kelemahan diri yang terlalu hebat.

Tanggungjawab sebagai murabbi itu besar. Maka, kadang kala bila kita mula mengevaluasi akan sikap mutarabbi-mutarabbi kita yang pelbagai ragam, kita mula mengeluh akan ragam-ragam setiap satu. Ada yang sebegini perangainya, ada yang sebegitu perangainya.

Tetapi, mahu tak mahu, akur atau tidak, marilah kita menghayati kata-kata ini;

"Murabbi seperti tongkat, sedangkan mutarabbi seperti bayang-bayang tongkat. Jika tongkatnya sahaja bengkok, bagaimana mungkin bayang-bayangnya bisa lurus?"

Marilah kita akur. Akur jika perangai-perangai mutarabbi kita itu sebahagian besar adalah antara salah satu perangai yang ada dalam diri kita juga.

Jika kita mengharapkan mutarabbi kita faham secara total apa yang kita sampaikan hanya sekali sahaja kepada mereka, maka cuba hisab diri; "adakah kita sememangnya terus boleh faham secara total bila murabbi kita menyampaikan bahan sekali sahaja kepada kita?"

Jika kita mengharapkan mutarabbi kita ikhlas di jalan ini, maka cuba hisab diri; "adakah kita sememangnya sudah benar-benar ikhlas di jalan ini?"

Jika kita mengharapkan mutarabbi kita dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap dakwah dan tarbiyah, maka cuba hisab diri; "adakah kita sudah memberikan sepenuh komitmen terhadap dakwah dan tarbiyah tiap kali jiwa dan harta kita diseru sekelip mata?"

Jika kita mengharapkan mutarabbi kita untuk serius di jalan ini dan telah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah sebagai hamba yang terpilih untuk berada di jalan-Nya, maka cuba hisab diri; "adakah kita sudah cukup serius di jalan ini dan adakah kita sudah rela menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah untuk berada di jalan ini?"

Jika kita mengharapkan mutarabbi ikut perintah kita, datang awal ke usrah, dan 'settle' kan kesemua mutaba'ah amal mereka dengan sempurna, maka cuba hisab diri; selama kita menjadi mutarabbi kepada murabbi kita, adakah kita sentiasa ikut perintah murabbi kita? adakah kita tidak pernah datang lewat ke usrah? adakah mutaba'ah amal kita juga telah 'settle'?

Jika kita ingin dicintai oleh mutarabbi kita, maka cuba hisab diri; adakah kita telah mencintai murabbi kita? Adakah kita benar-benar redha dia (naqibah) sebagai murabbi kita?

Jika kita solat lewat waktu, maka jangan kecewa kalau mutarabbi kita juga begitu. Jika kita cukup berat untuk membaca al-Quran biarpun selembar dalam sehari, maka jangan kecewa kalau mutarabbi kita juga begitu. Dan lagi satu (maaf. ini mungkin sensitif hehe) jika kita mampu untuk tonton cerita korea sampai lewat malam, mutarabbi kita apa lagi? :)

Apa yang kita tampilkan kepada murabbi kita, begitu juga apa yang ditampilkan mutarabbi kita kepada kita.

Kita akan dapat apa yang kita beri.

Murabbi itu sentiasa bercermin diri dan menjadi cermin kepada orang lain.

Berat kan?

Mungkin, kita akan melewati fasa di mana mungkin, mutarabbi kita semakin jauh dari kita, semakin malas untuk datang ke usrah. Jika ianya terjadi, janganlah bertanya "apa yang terjadi pada mutarabbi ku?" tetapi bertanyalah "apa yang terjadi pada diriku sehingga mutarabbi ku semakin menjauh kepada apa yang aku bawa?"

Semua adalah reflect terhadap diri kita. Semuanya kesalahan kita. :) Ya, walaupun Allah lebih tahu, tetapi kita letakkanlah kesalahan itu pada diri kita. Supaya kita sering menghisab diri. Agar kita dapat perbaiki diri untuk menjadi lebih baik.

Mutarabbi itu sangat bernilai dalam hidup. Hargailah anak-anak usrah kita. Sebagaimana diri kita ingin dihargai oleh seorang murabbi.

Walaupun berat, Allah menjanjikan ketenangan, kesabaran dan kemenangan. Jadi murabbi itu sangat indah. Kita belajar untuk menjadi pemberi yang baik, dan belajar agar orang dapat menerima apa yang kita berikan dengan baik.

Ini peringatan terkhas untuk diriku. Diriku, diriku, dan diriku. Yang sangat jauh dari sempurna. Yang masih belum cukup menjadi seorang murabbi.

Tetapi menjadi murabbi itu indah. Apa lagi jika sudah timbul rasa cinta pada anak-anak usrahku. Rindu pada gelagat mereka, masing-masing berbeza. Rindu pada kepoh mereka. hehe

Alhamdulillah, Allah beri rasa rindu dan cinta. Kerana cinta dan rindu di dalam usrah sangat berbeza kan?

Sangat indah. Dan semoga mutarabbi ku juga merasai 'rasa' yang sama

Comments

Popular posts from this blog

SELAWAT TAFRIJIYAH/NARIAH/TAFRIYYAH DAN TERJEMAHANNYA

3 Tahun Tanpa Kasih Sayang Nya

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?